Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pendekatan di peringkat cadangan itu selaras dengan prinsip Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) yang bertujuan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan sekali gus memastikan rakyat mendapat akses sepatutnya dalam pelbagai cara berurusan dengan pihak kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya bakal mengguna pakai modul perkhidmatan pelanggan di sektor korporat terutama membabitkan perbankan dalam kursus yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu.

“Tujuan saya turun padang adalah untuk mengenalpasti apa sebenarnya masalah dan sama-sama kita memperbaikinya, kerana kita mahu memastikan perkhidmatan kita adalah yang terbaik untuk rakyat.

“Mungkin masalah yang timbul berpunca daripada fasiliti atau pegawai di barisan hadapan yang tidak mempunyai kemahiran jadi, perkara ini akan diberi perhatian dan konsep yang kita bakal laksanakan kelak bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya untuk membantu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Jalinan Kasih Bersama Warga Kemas di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Samiun Salleh; Pengarah Kemas negeri, Dr. Faridah Mat dan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.

Terdahulu, Ahmad Razif dan isterinya, Toh Puan Halina Zakaria turut meluangkan masa menyertai senamrobik bersama kira-kira 3,000 warga Kemas.

Menurut Ahmad Razif, selain warga kerajaan negeri dan agensi, kursus sama akan turut diperkukuhkan dalam kalangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Ketika ini, saya sedang meninjau kaunter-kaunter yang berurusan dengan pelanggan bagi mengenalpasti tahap mutu perkhidmatan mereka,” katanya.

Dalam majlis sama, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan sebanyak 100 buah komputer riba dan 100 buah pencetak kepada Kemas Terengganu untuk melancarkan lagi pentadbiran mereka.