Kategori:Politik
 

BESUT 13 Okt. - Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan keputusannya tidak mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian sebaliknya memilih kedudukan lebih rendah bukan perkara pelik meskipun umum menganggapnya sukar ditandingi.

Menjelaskan pendirian yang masih menjadi tanda tanya umum itu, Idris berkata, usaha membantu memperjuangkan parti dan kebajikan rakyat boleh terus dilakukan melalui perkongsian usaha dengan pemimpin lain dan jentera tanpa menyandang jawatan tersebut.

"Usaha ini akan lebih berkesan jika dapat diwujudkan gandingan mantap antara kepimpinan di peringkat bahagian yang mempunyai jawatan penting di peringkat negeri dan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat sini semalam.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II mengulas langkahnya tidak mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut yang disandangnya sejak 2001 sebaliknya memilih jawatan Naib Ketua Bahagian yang dimenangi tanpa bertanding.

Jawatan Ketua diambil alih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad setelah saingannya, ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof juga membuat kejutan menarik diri.

Nawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini merupakan penyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian manakala Pehimi penyandang Naib Ketua UMNO Bahagian.

Idris menegaskan, langkah yang diambil itu juga bagi menyahut saranan Presiden parti supaya UMNO dapat diremajakan dengan memberi laluan kepada pemimpin muda yang mempunyai idea lebih segar.

Katanya, tindakan itu juga bukan bermakna beliau mengelak berkhidmat kepada UMNO di bahagian itu kerana beliau masih menyandang jawatan Naib Ketua selain Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

"Saya masih Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menawarkan diri untuk memberikan khidmat manakala dalam kerajaan pula diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Menteri Pendidikan II," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod