Kategori:MOTIVASI
 

 

Kita sering mendengar tentang tekanan perasaan, tetapi apa sebenarnya dimaksudkan dengan tekanan perasaan?

Tekanan perasaan terhasil apabila kuasa luaran bertindak ke atas sebuah struktur, sistem atau organisma dan mengganggu keseimbangan atau menghasilkan tekanan. (Kamus Perubatan Taber). Dalam erti kata lain, tekanan perasaan terhasil diakibatkan sebarang faktor emosi, fizikal, social, ekonomi atau faktor-faktor lain yang memerlukan tindakbalas atau perubahan. Secara amnya ramai berpendapat bahawa sedikit tekanan tidak mengapa (kadangkala tekanan ini dikenali sebagai cabaran atau tekanan positif) tetapi apabila tekanan berlaku melebihi jumlah yang mampu ditanggung, perubahan mental dan fizikal mungkin berlaku.

Tekanan di tempat kerja merupakan tindakbalas emosi dan fizikal yang terjadi apabila berlaku konflik di antara kehendak pekerjaan terhadap pekerja dan kebolehan pekerja memenuhi kehendak dan jangkaan tersebut. Secara amnya, kombinasi permintaan tinggi kerjaya dan jumlah kawalan yang rendah terhadap sesuatu situasi boleh mengakibatkan tekanan.

Tekanan di tempat kerja mungkin berpunca daripada pelbagai perkara atau cuma satu kejadian. Ia mampu memberi kesan terhadap pekerja dan majikan. Seperti yang dinyatakan oleh Persatuan Kesihatan Mental Canada:

Kebimbangan tentang dibuang kerja kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan terpaksa bekerja lebih masa kerana kekurangan pekerja bertindak sebagai faktor tekanan yang negatif. Pekerja yang merasakan tekanan untuk melaksanakan tugas akan terperangkap di dalam proses cubaan untuk mencapai jangkaan tanpa peningkatan kepuasaan bekerja. Permintaan tidak henti-henti untuk bekerja pada tahap optimum akan menyebabkan ketidakpuasan bekerja, mengganggu perolehan pekerja, menghasilkan penurunan kecekapan, mengganggu kesihatan pekerja dan juga menyebabkan kematian pekerja. Ketidakhadiran, tidak sihat, masalah ketagihan alkohol, politik dalaman, keputusan tidak bagus, sikap acuh tak acuh dan sikap tidak peduli, kekurangan motivasi atau kreativiti adalah hasil sampingan tempat kerja yang penuh tekanan.

Sedikit tekanan adalah normal. Sebenarnya, ia memberikan tenaga dan motivasi untuk mengatasi cabaran di rumah dan di tempat kerja. Tekanan dalam situasi begini membantu anda memperbaiki diri untuk mengatasi cabaran dan mencapai matlamat seperti tarikh akhir, sasaran jualan atau pengeluaran serta mencari pelanggan baru. Sebahagian orang tidak memandang keadaan ini sebagai tekanan kerana setelah berjaya mengatasi cabaran, mereka akan merasa kepuasan dan kegembiraan. Walau bagaimanapun, terlalu banyak tekanan akan menghasilkan impak yang negatif. Apabila perasaan kepuasan bertukar menjadi perasaan keletihan, kekecewaan atau ketidakpuasan, atau apabila cabaran tempat kerja menjadi terlalu berat, kesan negatif akibat tekanan mula menonjol.

Di tempat kerja, tekanan boleh berlaku akibat pelbagai situasi. Contohnya;

Faktor pekerjaan

  1. Peranan dalam organisasi
  2. Pembentukan kerjaya
  3. Hubungan dengan rakan sekerja
  4. Iklim organisasi

Tekanan mempunyai impak terhadap kesihatan pekerja secara keseluruhan. Badan kita dicipta dengan tindakbalas automatik terhadap tekanan. Sistem ini amat berkesan untuk tindakbalas jangka pendek “fight or flight” yang dieperlukan untuk menghadapi situasi bahaya. Masalahnya badan kita bertindakbalas terhadap semua jenis tekanan dengan cara yang sama. Sekiranya kita menghadapi tekanan untuk jangkamasa yang lama (seperti tekanan pada aras yang rendah tetapi secara konsisten di tempat kerja) akan mengaktifkan tindakbalas ini tetapi tidak memberi peluang untuk badan memberhentikannya.

Respon badan yang telah “diprogramkan” dinamakan “Respon Umum terhadap Tekanan” termasuk;

  1. Peningkatan tekanan darah
  2. Peningkatan metabolisma (cth: Peningkatan denyutan jantung, peningkatan pernafasan)
  3. Pengurangan sintesis protein, pergerakan usus (pencernaan), sistem imun dan alahan.
  4. Peningkatan koleterol dan asid lemak di dalam darah untuk sistem penghasilan tenaga.
  5. Radang setempat (kemerahan, bengkak, panas, dan kesakitan)
  6. Pembekuan darah yang lebih pantas
  7. Peningkatan penghasilan gula dalam darah untuk tenaga
  8. Peningkatan penghasilan asid di dalam perut

Lazimnya, punca tekanan adalah sesuatu yang tidak dapat diubah secara serta merta. Maka, adalah amat penting untuk mencari jalan untuk mengekalkan kesihatan. Terdapat pelbagai kaedah untuk menangani tekanan secara proaktif.

Anda boleh mencuba kaedah-kaedah berikut di tempat kerja:

Bergelak ketawa merupakan kaedah paling senang dan terbaik untuk mengurangkan tekanan. Kongsi jenaka bersama rakan sekerja, tonton filem lucu di rumah bersama rakan-rakan, baca komik dan sentiasa cari jenaka di dalam setiap situasi.

Belajar untuk berehat, tarik beberapa nafas dalam-dalam sepanjang hari atau ambil masa untuk melakukan senaman regangan. Senaman regangan dapat dilakuakan di mana-mana sahaja dan mengambil masa yang sangat singkat.

Ambil masa 10 minit pada permulaan setiap hari untuk menguasai situasi anda dengan menyusun keutamaan anda dan aturkan hari anda secara rapi. Sentiasa jujur dengan rakan sekerja, beri kritikan membina dan berikan cadangan praktikal. Sentiasa bersikap realistik terhadap apa yang boleh anda ubah.

Dr. Lim Jac Fang merupakan seorang pakar perubatan perkerjaan yang kini bertugas di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemah dari Workplace Stress oleh Dr. Hidayatul Radziah Ismawi.

Lampiran:Tiada rekod