Kategori:EKONOMI
 

NUSA DUA (BALI) 8 Okt. - Malaysia sama sekali bukan 'pak turut' dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebaliknya terlibat memberi input dan pandangan berasaskan kepentingan negara dalam proses untuk menentukan kerangka perdagangan bebas dunia yang baru itu, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri turut menekankan sekali lagi bahawa tiada paksaan kepada 12 negara yang merundingi TPPA termasuk Malaysia untuk memuktamadkan perjanjian itu sebelum hujung tahun ini.

"Kita bukan 'pak turut'. Dalam rundingan itu, memang saya bersuara tegas menyatakan pendirian kita dalam hal ini. Kita tidak menjadi pak turut sama sekali. Itu tidak benar. Kita masuk dengan kerelaan hati kerana kita merupakan antara negara perdagangan yang terbesar di dunia.

"Sebab itu kita ada kepentingan masuk sebagai rakan TPPA supaya kita ada peluang untuk menentukan kerangka perdagangan bebas dunia yang baru. Sebab ia dalam proses untuk menggariskan peraturan perdagangan bebas dunia pada masa depan.

"Kalau kita tidak terlibat dalam rundingan itu maka kita tidak ada peluang untuk memberi input dan pandangan kita dalam kita mencorakkan masa depan perdagangan bebas dunia.

Jadi sekarang ini, Malaysia adalah sebahagian daripada anggota (TPPA) dan kita ada hak untuk berbuat demikian," katanya kepada wartawan Malaysia sejurus selesai menghadiri mesyuarat TPPA yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-21 di sini hari ini.

Perdana Menteri menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya Malaysia hanya mengikut telunjuk negara lain yang mahukan perjanjian itu dimuktamadkan segera sebaliknya menegaskan kerajaan konsisten dengan pendirian bahawa kepentingan nasional menjadi keutamaan.

"Bukan bererti kita akan terima segala-galanya. Saya sudah katakan berkali-kali dan Datuk Seri Mustapa Mohamed pun sudah ulangi bahawa kita tidak akan korbankan kepentingan nasional.

"Maknanya kita hendak TPPA tetapi TPPA yang tidak mengorbankan kepentingan nasional," tegasnya.

Justeru Najib menjelaskan walaupun TPPA menetapkan objektif pada hujung tahun ini, sasaran itu tidak semestinya dicapai sebaliknya mungkin dilanjutkan sekiranya ada isu-isu tertentu yang penting yang tidak dapat diputuskan dalam tempoh masa tersebut.

Perdana Menteri mengulangi secara prinsipnya Malaysia tidak ada masalah dalam soal perdagangan dan pelaburan kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam dua bidang utama itu namun terdapat sensitiviti dalam aspek-aspek tertentu yang bersangkut paut soal kedaulatan negara dan hak untuk menentukan dasar-dasar tempatan.

Ini termasuk katanya, soal pemerolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, penyelesaian pertikaian dan harta intelek (IPR).

Menurut Najib, beliau juga telah memaklumkan pada mesyuarat TPPA tentang proses domestik yang perlu dilalui oleh Malaysia sejajar dengan pendirian kerajaan untuk bersikap telus dalam isu itu.

"Saya perlu terangkan kepada Kabinet, selepas itu rakyat Malaysia dan disusuli perbahasan di Parlimen. Jadi ini adalah proses domestik yang perlu kita lalui," katanya.

Menurutnya, anggota TPPA lain memahami pendirian Malaysia itu walaupun kebanyakan negara terlibat mahu ia dimuktamadkan secepat mungkin kerana tidak mahu menyekat momentum tambahan pula mereka tidak ada cabaran dan sensitiviti seperti Malaysia.

"Kita di Malaysia ada sensitiviti tertentu. Mereka faham dan saya sudah minta Tok Pa (Mustapa) dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam proses ini untuk merundingkan perkara ini berdasarkan kepentingan Malaysia," jelasnya.

TPPA menjadi isu yang cukup kontroversi sejak idea pembentukannya yang ketika itu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Ekonomi Trans-Pasifik atau P4 bermatlamat meliberalisasi ekonomi rantau Asia Pasifik digerakkan oleh Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura pada 2005.

Malaysia menyertai rundingan TPPA pada 2010. Rundingan tersebut kini diperluaskan meliputi 12 anggota.

Negara lain yang turut menyertai rundingan TPPA ialah Australia, Vietnam, Mexico, Kanada, Peru, Amerika Syarikat dan Jepun. - UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod