Kategori:EKONOMI
 

KUALA TERENGGANU 12 Okt. - Kementerian Kewangan menjangkakan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk menstabilkan sistem percukain negara selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijadual bermula April tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, itu merupakan perkara yang biasa dihadapi oleh mana-mana negara pada peringkat awal apabila cukai berkenaan mula dikuatkuasakan.

Mengambil contoh daripada beberapa negara yang telah melaksanakan GST termasuk Singapura dan New Zealand, Ahmad berkata, kenaikan kadar inflasi pada peringkat awal memang tidak dapat dielakkan.

"Tapi perlu diingat, kadar inflasi ini akan mulai turun dan stabil selepas tempoh tertentu," katanya ketika ditemui selepas sesi penerangan berkaitan GST di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang.

Ahmad memberitahu, bagi mengurangkan kegusaran rakyat berhubung kenaikan harga barang, kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang perlu termasuk menyediakan buku garis panduan berkaitan harga barang selain menguat kuasa serta memperkukuhkan beberapa akta berkaitan seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

Katanya, langkah lain yang bakal dilaksanakan ialah memilih pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dengan aspek kepenggunaan untuk menjadi pemantau harga tambahan kepada unit pemantau harga sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Kita juga akan tambah pasar tani kekal, tambah pasar ikan dan Kedai Rakyat 1Malaysia dan sebagainya. Kita ada pelbagai kaedah (untuk mengurangkan kegusaran rakyat), jadi, tak perlu risau sangat.

"Yang saya risau ialah rakyat terlalu kurang ilmu kepenggunaan. Pergi kedai tanpa tawar, pergi kedai tanpa pilih..sedangkan mereka boleh pilih dan boikot. Mereka ada kuasa untuk itu," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod