Kategori:Sejarah Tercipta di YPKT
 

Pendekatan Terengganu untuk melahirkan ‘anak-anak terbilang dan berfikiran kelas pertama ‘ membabitkan kanak-kanak di awal usia, wajar mendapat pujian semua pihak, terutama ibu bapa kanak-kanak berkenaan.


Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sentiasa berusaha menerapkan kaedah pembelajaran kreatif dan inovatif di 43 Taska Hadhari di seluruh negeri.


Komited dengan usaha itu, YPK akan menambah 32 taska di setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN ) dan pembinaannya dijangka bermula Mac ini.


Taska itu dibina atas inisiatif Kerajaan Pusat selepas melihat kejayaan YPU mengharumkan nama Taska sedia ada di peringkat kebangsaan terutama berkaitan program menghafaz surah lazim.


Sebanyak RM 6.4 juta diperuntukkan bagi membina taska itu yang bakal diberi nama Taska Permata Hadhari ( TPH ).


Ketua Penolong Pengarah YPK, Kamaruzaman Awang, berkata apabila TPH beroperasi kelak, pelbagai program yang boleh membangun dan merangsang minda akan dilaksanakan.


Katanya, ia termasuk program yang mampu mewujudkan hubungan mesra antara ibu bapa, pengasuh dan kanak-kanak, mengutamakan konsep belajar melalui seronok bermain, bebas meneroka dan menterjemah serta menumpukan aktiviti mengikut tema pada setiap bulan.


“ Sebahagian konsep itu sudah dilaksanakan di Taska Hadhari dan ia jelas memberi satu perkembangan positif terhadap minda kanak-kanak.


“Mereka didapati lebih berani untuk berdepan dengan masyarakat, gemar mencuba perkara baru, ceria, berkeyakinan, berdikari, penyayang dan mampu menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui GanuKita, baru-baru ini.


Seramai 320 pendidik akan dihantar mengikuti Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan secara berperingkat di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ).
 

 

Lampiran:Tiada rekod