Kategori:Sejarah Tercipta di YPKT
 

Kuala Terengganu-Kerajaan Negeri melalui  Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyasarkan 1,600 pasangan baru berkahwin menyertai program baru, Pasca Perkahwinan, tahun ini.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustafa berkata, program sokongan itu memberi tumpuan kepada pasangan yang masih baru sehingga usia perkahwinan menjangkau lima tahun.

" Tujuan utama program adalah mengukuhkan hubungan suami isteri dan turut berperanan sebagai kemudahan kepada pasangan dalam aspek pengurusan hubungan  suami isteri serta pendidikan anak.

" Kami akan membuat penilaian terhadap program ini dan sekiranya sambutan menggalakkan, kami akan mencadangkan untuk memperhebatkan kursus ini pada masa akan datang,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Menurut Mohd Shafaruddin, kursus sehari itu memberi pendedahan kepada pasangan suami isteri terhadap alam rumah tangga melalui modul khas dinamakan Modul ke Hati, Keluarga Hadhari Terengganu Bestari.

" Empat tajuk utama akan dipersembahkan, antaranya kelebihan diri suami isteri, matlamat berumah tangga, teknik meningkatkan kasih sayang suami isteri dan pengurusan kewangan dalam rumah tangga.

" Buat permulaan, YPKT tidak menyediakan sebarang bayaran dan kursus akan berlangsung di tiga daerah bermula 29 Mac lalu.

" Peserta yang kita tawarkan adalah melalui pejabat agama dan mana-mana peserta yang berminat, mereka boleh berdaftar dari sekarang di Pejabat YPK di setiap daerah untuk kursus bulan depan,' katanya.

Menurut Mohd Shafaruddin, konsep program adalah berpasangan yang mewajibkan setiap peserta menyertai kursus berkenaan dengan pasangan masing-masing.

" Melalui usaha yang dilakukan ini, saya harap pasangan yang baru berkahwin menjadi ibu dan bapa lebih cemerlang.  

Lampiran:Tiada rekod