Kategori:Sejarah Tercipta di YPKT
 

Kuala Terengganu- 'Saya Anak Terengganu' merupakan anjakan dalam membantu menyuburkan semangat golongan muda terhadap budaya sopan santun dan nilai mulia masyarakat zaman dulu.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPKT ) dijangka dilaksanakan bulan depan bagi mengajak anak muda menghayati semula semangat muhibah dan silaturahim antara keluarga, masyarakat dan penduduk di samping memberi peringatan supaya amalan mulia diteruskan generasi kini.

Penolong Pengarah Penyelidikan dan Perhubungan Awam YPKT, Mohd Fauzy  Abdul Ghani berkata, Saya Anak Terengganu merupakan usaha untuk mengembalikan semula budaya menarik zaman dahulu untuk dicontohi anak-anak muda sekarang.

"Kita mahu mengingatkan mereka kepada masyarakat Terengganu dahulu, bagaimana hubungan dengan masyarakat dan sebagainya.

"Program ini dikhususkan kepada lepasan sekolah berumur 19 hingga 25 tahun dan mungkin dilanjutkan kepada mereka berumur sehingga 30 tahun berdasarkan keadaan semasa," katanya ketika ditemui di Gerai YPKT sempena Program Jom Bersama-sama... Mesra Rakyat 09 di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir.

Katanya, program berkenaan bertujuan mewujudkan keharmonian  dan kecaknaan antara masyarakat, menyemai kembali budaya rakyat Terengganu yang bersatu padu daripada aspek kekeluargaan di samping rasa hormat  antara generasi muda dan lama.

Jelas Mohd Fauzy, program sehari itu dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan bengkel oleh kakitangan YPKT dengan kerjasama beberapa agensi lain manakala pengisian program melibatkan pelbagai kompenan berkaitan antaranya sikap, hubungan luar dan permainan.

Selain itu, pelbagai program lain turut dianjurkan YPKT antaranya Perkembangan Awal Kanak-Kanak, Program Usia Remaja, Ingat Sebelum Terkena, Program Cakna Warga Emas, Program Keluarga Prihatin, Program Penghargaan, Program Perubahan Diri, Program Kemahiran serta program-program untuk masyarakat umum. 

Lampiran:Tiada rekod