Kategori:KERATAN AKHBAR
 

11.1.2011-  KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memohon bajet tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk membantu kerajaan negeri menyertai dan menganjur Sukan Malaysia (Sukma) yang akan diadakan setiap tahun mulai tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, KBS memahami kesulitan kerajaan negeri sebelum ini untuk menyediakan bajet bagi sukan dwitahunan itu, dan kini diadakan setiap tahun secara berselang-seli antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

"Bagi edisi Sukan Malaysia di Bukit Jalil, MSN dijangka mempe- runtukkan RM15 juta bagi menganjurkannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Sukma semalam.

Sukma edisi ke-14 di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, dijangka disertai antara 2,500 dan 3,500 atlet yang akan bertanding dalam 19 acara pilihan.

Ia dijadualkan berlangsung pada 28 Mei hingga 6 Jun depan.

Acara pilihan tersebut ialah besbol, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, ekuestrian, petanque, golf, judo, kabaddi, kenu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, silambam, snuker & biliard, sof- bol, tenis, tinju, bola baling, woodball, renang irama dan polo air.

Pahang, tuan rumah Sukan Malaysia edisi ke-15 pada tahun 2012 akan mempertandingkan 24 acara, 19 acara wajib dan lima acara pilihan.

Sukan wajib ialah akuatik (renang, terjun), badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin boling, angkat berat, berbasikal, karate, boling padang, memanah, menembak, perahu layar, silat, sepak takraw, taekwondo dan wusyu.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) pada Mei 2009 meluluskan penganjuran Sukma setiap tahun bermula tahun ini dengan MSN menganjurkannya pada tahun ganjil manakala negeri-negeri akan menjadi tuan rumah pada tahun genap.

Mengenai mesyuarat semalam, Ahmad Shabery berkata, beberapa isu teknikal terutama yang melibatkan sukan subjektif seperti karate dan silat mendapat perha- tian daripada negeri-negeri.

"Ini berdasarkan mutu pengadi- lan acara tersebut pada Sukan Malaysia ke-13 di Melaka pada Jun tahun lepas.

"Bagi mengelakkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan, KBS akan meminta persatuan terbabit mencari jalan bagi pemberian markah yang lebih telus," katanya.

Lampiran:Tiada rekod