Kategori:Sains dan Teknologi
 

RAMAI beranggapan sekiranya mempelajari sains dan matematik, boleh menjadi kaya dan senang mencari duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang sejarah dan geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan. Ini rungutan Prof Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama TV3, 6 Januari lalu.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Demikian kata-kata ringkas Profesor Diraja Ungku Aziz mengenai perbezaan orang berpelajaran dan berpendidikan.

Maklumat daripada keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 mendapati 27,668 atau 5.9 peratus daripada 469,401 calon ini memperoleh Grade A untuk semua mata pelajaran yang diambil. Ini adalah lebih baik berbanding dengan tahun lalu seramai 4.5 peratus dan 4.9 peratus bagi 2005. Tahniah kepada mereka cemerlang.


Prof Khoo menambah: "Modal insan bukan bertujuan melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara."

Ini sebenarnya cabaran kepada setiap ahli keluarga, sama ada kepada ibu bapa khususnya atau adik beradik yang sudah bekerja dan berumahtangga. Ia juga bebanan berat kepada guru yang tersepit oleh sistem pembelajaran dan mata pelajaran yang 'melemahkan.'

Sistem kita masih tidak melahirkan manusia! Tiada jiwa manusia melainkan robot yang bekerja. Imbangan duga dalam pertimbangan akal masih lemah dengan pembentukan melalui sistem pembelajaran terkini. Sistem itu juga sepatutnya juga tidak mengabaikan mereka yang bukan beragama Islam.

Peluang semua orang adalah sama. Tiada diskriminasi. Sekolah adalah tempat pemupukan nilai perpaduan semua kaum. Bumi Malaysia bukan hanya untuk Muslim tapi pelbagai bangsa dan agama hidup bersama. Falsafah pendidikan negara sebenarnya sudah mantap tapi hasilnya belum menyeluruh dan belum benar-benar memberikan kesan langsung kepada pelajar.

Jika ada yang terkesan, itu adalah usaha pimpinan sekolah yang bijak berdikari. Saya merasakan sistem sedia ada hanya memenuhi akal tapi kurang menitikberatkan kemampuan mengisi hati dan perasaan serta akal.

Kalimah mendidik ini jika dalam perkataan Arab berbunyi 'Tarbiyah', berasal daripada kata akar Rabb. Ia mengandungi pelbagai maksud iaitu antaranya, tuan punya (pemilik), mendidik dengan membesarkan Ilahi, berkembang melalui proses tersusun.

Meneliti pengertian mendidik atau tarbiyah, pendidikan harus dirujukkan semula kepada pencipta. Prinsip disandarkan kepada surah Nuh ayat 14, iaitu pendidikan itu berperingkat sesuai dengan fitrah manusia.

Kemudian surah Al 'Asr ayat 3, iaitu prinsip sampaikan hanya yang hak dan sampaikan dengan sabar. Inti pati surah Fatir ayat 32 pula adalah prinsip kebenaran yang mesti diwariskan.

Ditambah lagi surah An Nahl ayat 44, iaitu prinsip menyampaikan kebenaran dengan jelas asalkan umum faham sehingga mendatangkan budaya 'yatafakkarun', budaya berfikir untuk sintesis tindakan mereka umpama disebut dalam Quran, 'bayyin,' iaitu membezakan baik dan buruk.

Pendidikan dan pembelajaran harus memenuhi semua ciri atau intipati surah berkenaan. Ia membawa manusia menuju kepada Tuhan. Sememangnya manusia perlukan Tuhan untuk mendidik mereka.

Jika dulu sistem sekolah integrasi jarang diamalkan, kini kebanyakan sistem sekolah mula bertukar corak kepada integrasi bersepadu. Sehingga kini, sistem pendidikan dan pembelajaran masih mencari-cari gaya dan stail silibus terbaik. Sistem terbaik mampu memanusiakan manusia daripada memperbudakkan dan memperhambakan jiwa.

Memang benar ibu bapa perlu jadi pendidik utama, tapi persekitaran dan maklumat diberikan kepada generasi muda perlu benar agar anak menjadi insan dan bukan beban pada masa depan.

 

Lampiran:Tiada rekod