Kategori:Pendidikan
 

KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), sebuah agensi di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, menerima peruntukan RM14.7 juta daripada kerajaan untuk membangunkan pendidikan dan latihan animasi.

Timbalan Ketua Pengarah Hal Ehwal Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Aswara Habsah Mohamad Noordin berkata akademi itu telah memulakan pengajian ijazah sarjana muda filem dan video dan bulan depan akan memulakan program sijil animasi sepenuh masa selama tiga bulan.

“Kerajaan memandang serius mengenai pembangunan bidang animasi. Maka Aswara menjadi pusat latihan animasi Malaysia yang berperanan menyediakan tenaga pengajar yang berkelayakan, kemudahan infrastruktur serta sukatan pelajaran dan modul-modul animasi,” katanya ketika merasmikan seminar pendidikan animasi di sini hari ini.


Habsah berkata beberapa kementerian, agensi kerajaan lain dan syarikat penerbitan animasi negara sedia bekerjasama dengan Aswara untuk membangunkan pendidikan dan menghasilkan karyawan tanahair yang mencerminkan keaslian dan identiti bangsa.

Aswara adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian seni persembahan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. - Bernama

Lampiran:Tiada rekod