Kategori:Pendidikan
 

JABATAN Pelajaran Terengganu optimis dapat meningkatkan jumlah murid memperoleh semua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada 17 peratus tahun lalu kepada 20 peratus tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong, berkata keyakinan itu berdasarkan perancangan jangka panjang jabatannya dan usaha gigih warga pendidik, murid serta ibu bapa yang mahu Terengganu terus mencatatkan keputusan cemerlang.

Katanya, sistem e-pantau yang mengenal pasti murid berpotensi untuk diberi perhatian adalah antara faktor yang boleh membantu Terengganu terus mencatatkan kejayaan cemerlang.


"Melalui e-pantau, jabatan memantau sekolah secara elektronik dengan membuat unjuran melalui data yang kita ada bagi melihat murid berpotensi digilap dan pelajar lemah pula diberi tumpuan.

"Berdasarkan maklum balas pihak sekolah, mereka positif dan yakin usaha yang kita lakukan mampu meningkatkan peratusan kecemerlangan dalam UPSR tahun ini.

"Saya melihat guru di seluruh negeri ini sangat dedikasi dan bekerja dengan penuh keikhlasan hati," katanya ketika ditemui di pejabatnya, kelmarin.

Dalam UPSR tahun lalu, Terengganu merekod kejayaan cemerlang apabila mencatat keputusan terbaik UPSR serta prestasi tinggi dari segi kuantiti dan kualiti.

Kira-kira 4,000 atau 17 peratus daripada 24,127 calon UPSR di negeri itu memperoleh 5A dan 7A, berbanding 12.3 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, kecemerlangan pelajar negeri itu turut didorong pelbagai inisiatif dan program mantap yang disusun, selain keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, terhadap bidang pendidikan.

"Kejayaan dicapai juga adalah hasil kerjasama dan dorongan kerajaan negeri, ibu bapa dan sekolah yang memberi makna besar dalam meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar," katanya.

"Jabatan Pelajaran pula menubuhkan pasukan khas yang turut dianggotai pegawai jabatan dan pejabat pelajaran daerah bagi mengadakan lawatan ke sekolah untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar," katanya.

 

Lampiran:Tiada rekod