Kategori:UCAPAN
 

 

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DENGAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, WISMA DARUL IMAN, 13 JULAI 2008

Assalamualaikum w.b.t

Bersyukur kita ke hadrat ALLAH S.W.T kerana mengizinkan kita untuk bersama-sama menjayakan suatu program yang sungguh murni bagi mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin melalui suatu Majlis Menandatangani Perjanijan Persefahaman antara Universiti Putra Malaysia dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

YB. Dato', YBhg. Prof., tuan-tuan dan puan-puan,

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah ditubuhkan sejak 1987 bagi menangani masalah kemiskinan, perceraian dan kadar kematian bayi yang tinggi serta kadar kesihatan yang rendah di Negeri Terengganu.

Masalah yang timbul telah membantutkan pembangunan modal insan negeri Terengganu. Di sinilah peranan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, iaitu untuk meningkatkan keupayaan masyarakat dan negeri dalam melahirkan individu yang berkualiti dan berdaya saing didalam suasana yang penuh mencabar pada hari ini.

Sejak 20 tahun yang lalu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah memberi fokus dalam memperbaiki kualiti kehidupan keluarga seawal kelahiran hinggalah ke usia emas dengan berbagai-bagai program yang dirancang bagi meningkatkan kualiti modal insan. Usaha ini telah memberi impak yang besar kepada kemajuan Negeri Terengganu.

Maka adalah penting suatu ruang kerjasama yang lebih jelas di wujudkan antara Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dengan Universiti Putra Malaysia. Ini bagi membantu Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu memperkasakan kemahiran dan pengalaman dalam mengatasi masalah-masalah yang timbul di negeri ini.

Universiti Putra Malaysia yang ternyata berpengalaman dan mempunyai pakar-­pakar dalam bidang yang tersendiri dilihat sebagai institusi pendidikan yang amat sesuai dan mampu membantu usaha kerajaan negeri Terengganu kearah yang lebih cemerlang.

Universiti Putra Malaysia merupakan institusi pendidikan yang pertama menandatangani MOU dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Insyaallah Lembaga ini akan berusaha untuk bekerjasama dengan lain-­lain institusi pendidikan di masa-masa yang akan datang.

Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha bin R. Abdullah selaku Naib Canselor UPM kerana sudi menyalurkan kepakaran kepada negeri Terengganu melalui persefahaman ini. Oleh kerana Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu mempunyai sasaran yang luas, saya percaya ia akan menjadi "Makmal Sosial" terbaik di Negeri Terengganu suatu ketika nanti.

Saya difahamkan Universiti Putra Malaysia telah banyak memberi kerjasama kepada Yayasan Pembangunan Keluarga dalam pelbagai aspek kemahiran sejak awal penubuhannya. Pada 12 Julai, 2008 (semalam) umpamanya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia telah membantu Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu melancarkan Program Pakej Rangsangan kepada seramai 125 keluarga di Kuala Terengganu.

Lain-lain program yang dilaksanakan bersama sebelum ini juga saya yakin telah berjaya memberi manfaat yang begitu berkesan. Saya berharap banyak lagi program dapat dijalankan selepas MOU ini.

Seterusnya bagi membantu kita merancang aktiviti yang lebih berkesan pada masa akan datang, mungkin satu kajian tentang keberkesanan program-program yang telah dijalankan boleh dilakukan dan dikemukakan.

Sekali lagi saya mewakili Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha bin R. Abdullah dan Universiti Putra Malaysia kerana telah berusaha mengukuhkan hubungan yang telah sedia terjalin melalui MOU ini.

Saya percaya dengan usaha yang bersungguh, hasrat murni kita bersama akan di berkati ALLAH s.w.t. jua.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pejabat Menteri Besar , 13 Julai 2008

Lampiran:Tiada rekod