Kategori:UCAPAN
 

MENTERI BESAR TERENGGANU DI MAJLIS PERASMIAN PAMERAN SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN DEWAN UNDANGAN NEGERI TERENGGANU 1959-2009

 

Alhamdulillah, bersyukur saya   ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan InnayahNya  kita diberikan kesempatan untuk sama-sama hadir di petang yang berbahagia ini di dalam Majlis Perasmian Pameran 50 Tahun Dewan Undangan Negeri Terengganu.

 

Sebelum  meneruskan ucapan ini,  saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua hadirin dan hadirat yang sudi hadir menjayakan majlis pada petang ini.

 

Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua menatijahkan satu makna yang besar kepada majlis ini serta memberikan satu isyarat yang amat penting kepada pentadbiran saya.

Jika kita mengimbas sejenak kebelakang, menostalgiakan kembali rentetan sejarah bumi Darul Iman ini, kita akan dapat rumuskan bahawa bentuk pemerintahan secara pentadbiran di Negeri Terengganu pada zaman silam agak kabur.

Zaman pemerintahan awal telah diriwayatkan melalui catatan batu bersejarah, iaitu Batu Bersurat Terengganu yang mengisahkan bahawa Raja Mandalika telah mengisytiharkan kanun hukum hakam agama Islam, khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan perundangan.

Tetapi, perlu kita ingat bahawa satu bentuk pemerintahan atau kewujudan sistem pentadbiran yang komprehensif tidak dinyatakan  secara jelas dan terperinci.

 

Sistem pemerintahan yang lebih sistematik dipercayai bermula apabila beberapa pembesar dari Johor mengawal daerah-daerah atau kawasan tertentu sehingga sampai ke negeri Terengganu.

                                                                        

Disebutkan, apabila Tengku Zainal Abidin, putera Tun Habib Abdul Jalil, Bendahara Seri Maharaja Johor dilantik sebagai Sultan Terengganu yang pertama, maka bermulalah sistem pemerintahan beraja bagi jajahan takluk negeri ini hingga sekarang.

Dekad demi dekad berlalu dalam pemerintahan kesultanan, terdapat bibit-bibit campurtangan serta pengaruh kuasa asing seperti dari negara Siam. Kemudian datang pula British dan seterusnya pendudukan tentera Negara Matahari Terbit, iaitu Jepun pada tahun 1942 sehingga akhirnya pentadbiran British kembali sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan yang hakiki pada tahun 1957.

Sesungguhnya, campurtangan kuasa kolonial British meninggalkan banyak impak kepada corak pentadbiran negeri kita ini.

Perjanjian yang dimeterai pada 21 Januari 1948  antara kerajaan negeri Terengganu yang diwakili oleh Sultan Terengganu pada waktu itu , Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan kerajaan British yang diwakili oleh Sir Gerard Edward Gents telah membawa kepada era baru ke arah penglibatan rakyat di dalam pentadbiran negeri.

Melalui perjanjian tersebut, maka tertubuhlah Majlis Mesyuarat Kerajaan  atau Mesyuarat EXCO dan Majlis Mesyuarat Negeri atau Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Ini merupakan bermulanya satu era baru serta satu detik yang amat bermakna dalam rentetan sejarah Dewan Undangan Negeri kita yang telah mencapai usia emas 50 tahun penubuhannya pada hari ini.

 

Selepas pilihanraya negeri yang diadakan pada 29 Oktober 1954, Majlis Mesyuarat Negeri ditubuh secara rasmi, dengan buat pertama kalinya wakil-wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya tersebut diberi tempat dalam Majlis Mesyuarat Negeri.

Dalam pilihanraya ini Parti Perikatan (UMNO – MCA) telah memenangi kesemua 15 kerusi. Parti-parti lain yang bertanding ialah Parti Negara dan beberapa calon parti Bebas.

Semenjak itu, apa yang dinamakan sebagai sistem pemerintahan demokrasi berjalan sepenuhnya.

Parti yang mempunyai majoriti akan mengesyorkan perlantikan seorang Menteri Besar dengan mendapat perkenan oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan seterusnya Menteri Besar pula akan melantik ahli-ahli anggota Dewan Undangan Negeri atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi merencana, merancangdan melaksanakan tugas-tugas yang termaktub demi untuk memajukan negeri baik dalam aspek ekonomi, politik ataupun sosial.

Umum telah mengetahui bahawa semua negeri di negara kita ini mempunyai Dewan Undangan Negeri mereka sendiri.

Dewan Undangan ini merupakan tempat yang dianggap mulia bagi melaksanakan tugasan dan aturcara persidangan bagi individu yang bergelar Yang Berhormat.

Melalui persidangan dewan inilah kerajaan telah menggubal dasar-dasar terutamanya dasar pentadbiran serta dasar pengurusan negeri bagi menjamin kelangsungan pemerintahan semua negeri yang berdaulat.

Dalam masa 50 tahun, banyak dasar kerajaan telah digubal dan hasilnya telah dilaksanakan demi untuk kebaikan seluruh rakyatnya.

Dalam sektor ekonomi pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negeri dan sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sektor petroleum telah dimajukan sepenuhnya dan natijah akhirnya rakyat mendapat manfaat melalui peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Ladang-ladang komoditi kelapa sawit, getah serta pokok-pokok hutan berskala mega telah dimajukan dan terbukti telah mampu memberikan pulangan yang amat besar kepada semua pihak khususnya kepada pribumi negeri Darul Iman ini.

Dalam bidang pendidikan pula, pelbagai prasarana telah dibina demi untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak kita.

Sekolah-sekolah baru dibina di merata-rata, hatta hingga ke kawasan pedalaman. Kemudahan seperti makmal sains, makmal komputer dan sebagainya sentiasa diperlengkapkan.

Dalam usaha mewujudkan masyarakat Terengganu yang celik teknologi maklumat, saya berasa amat bangga kerana negeri kita telah menjadi negeri pertama di negara ini yang membekalkan komputer riba atau e book kepada murid-murid seawal mereka di sekolah rendah lagi.

Ini merupakan satu langkah pro aktif yang kita ambil demi mewujudkan sebuah masyarakat yang sentiasa bermaklumat seiring dengan perkembangan teknologi dunia yang semakin hebat dan mencabar.

Kerajaan negeri juga tidak pernah meminggirkan aspek keagamaan rakyatnya. Dalam konteks ini kerajaan negeri telah membina banyak masjid serta surau baru dengan dilengkapi kemudahan-kemudahan canggih seperti peralatan audio visual, bilik bacaan, bilik syarahan serta pelbagai kemudahan lain.

Program serta aktiviti bagi anak-anak kita telah dimulakan semenjak mereka kecil lagi. Kelas dan bimbingan Al Quran telah diwujudkan di pusat-pusat pendidikan yang khusus, terutamanya melalui agensi dan jabatan yang berkaitan seperti Yayasan Islam Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan sebagainya.

Dewasa ini, telatah dan tindak tanduk ahli-ahli Yang Berhormat sering mendapat perhatian media.

Perlakuan negatif mereka sering dipaparkan di kaca telivisyen. Natijahnya, rakyat dan orang ramai memandang serong kepada mereka dan rasa hormat rakyat terhadap mereka akan mula terhakis.

Sehubungan itu, pada kesempatan ini juga  saya ingin menyeru kepada semua  yang terlibat, terutamanya ahli-ahli Yang Berhormat agar dapat menjaga tertib dan tingkahlaku semasa sesi perbahasan di dewan.

Perlu kita ingat bahawa dalam zaman sains teknologi yang serba canggih ini segala tindak tanduk , perlakuan serta tutur bicara kita akan dapat diketahui dan didengari dengan meluas oleh rakyat jelata di sekililing kita.

Kita sudah tentu tidak mahu sidang Dewan Undangan yang mulia bertukar menjadi suasana pasar yang bingit, bercelaru serta haru biru  dek kerana segelintir ahli Yang Berhormat tidak menjaga tatasusila ketika sesi perbahasan di dewan.

Kita juga tentunya tidak menginginkan suasana persidangan dewan sepertimana yang berlaku di luar negara di mana ahli dewan bergaduh, kerusi  terbang melayang serta suasana dewan menjadi seperti medan perang.  

Pada fikiran saya, bagi setiap orang yang waras, sudah tentunya tidak menginginkan perkara-perkara seperti ini berlaku di dewan yang serba mulia ini apatah lagi boleh mencetuskan pandangan negatif masyarakat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, pada kesempatan ini marilah sama-sama kita sematkan azam kita untuk menjadi manusia yang terbaik, bertakwa, berdisiplin serta sentiasa menjaga tingkahlaku agar kita tidak dipandang serong oleh ahli masyarakat.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 50 Dewan Undangan Negeri Terengganu ini, saya mendapat maklum beberapa program telah dan akan diadakan yang mana salah satunya ialah  Pameran 50 Tahun Dewan Undangan Negeri yang akan dirasmikan sebentar lagi ini. 

Saya mengharapkan agar pameran ini akan berupaya menyalurkan pelbagai maklumat Dewan Undangan Negeri Terengganu terutama daripada aspek persejarahan, perkembangan dan kemajuannya, khususnya kepada seluruh rakyat di negeri ini dan amnya kepada semua rakyat di negara ini.

Menjadi harapan saya dan seluruh pentadbiran negeri  agar pameran ini juga akan dapat menguar-uarkan  tugas-tugas serta peranan yang telah dimainkan oleh institusi  Dewan Undangan Negeri selama 50 tahun ini sehingga telah berjaya menggapai segala visi dan misi yang telah diinspirasikan oleh seluruh rakyat jelata.

Kita mahukan rakyat kita seolah-olah terlibat sama dengan apa jua keputusan serta segala dasar yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Kita mahukan slogan serta motto pentadbiran negeri iaitu Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan benar-benar menjadi kenyataan di mana hasil akhirnya dapat mewujudkan win-win situation ataupun situasi menang-menang antara kerajaan dan rakyat jelata. Itulah hasrat dan cita-cita kita, hasrat dan cita-cita pentadbiran negeri selama ini.

Kepada semua, marilah kita bersama-sama jayakan wawasan serta misi penting ini agar hasrat kita untuk mewujudkan sebuah negeri yang maju bersama-sama dengan sebuah masyarakat yang sejahtera dan maju fizikal dan mentalnya benar-benar menjadi kenyataan, InsyaAllah.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak khususnya kepada pihak Muzium Negeri Terengganu kerana berusaha mengumpul dan seterusnya menzahirkan Pameran 50 Tahun Dewan Undangan Negeri ini.

Kepada organisasi, agensi serta orang perseorangan yang turut sama sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung menjayakan pameran ini, terima kasih daun keladi saya ucapkan.

Semoga segala usaha murni ini diredhai oleh Allah SWT. Kepada seluruh ahli masyarakat pula, suka saya menyeru dan menjemput untuk datang beramai-ramai menyaksikan pameran ini.

Sama-samalah kita menghayati dan mengembalikan keagungan dan kemuliaan Dewan Undangan Negeri yang menjadi tonggak keutuhan pentadbiran dan pemerintahan Negeri Terengganu Darul Iman yang kita cintai ini.

Dengan lafaz suci, BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM saya dengan ini merasmikan Pameran 50 Tahun Dewan Undangan Negeri Terengganu ini.

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 

 

 

 

Lampiran:Tiada rekod