Kategori:UCAPAN
 

MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI TERENGGANU BAGI TAHUN 2009 

PADA 17 DISEMBER 2009 (KHAMIS) 

JAM 9.20 MALAM 

BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN, TAMAN TAMADUN ISLAM, PULAU WAN MAN, KUALA TERENGGANU

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya serta dengan berkat keizinanNya dapat kita berkumpul bersama-sama pada hari yang mulia ini bagi meraikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1431H Peringkat Negeri Terengganu.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Yang Teramat Mulia Tengku Seri Panglima Raja selaku Yang Di Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja dan Yang Amat Berbahagia To’ Puan Seri Wan Hidayah Binti Wan Ismail untuk turut sama hadir dan seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 1431 Hijrah bersamaan dengan tahun 2009 pada malam ini.

Awal Muharram adalah satu tarikh yang sangat bermakna bagi umat Islam seluruhnya. Tarikh ini membawa kita kembali menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dari Kota Mekah ke Madinah yang menuntut 1001 pengorbanan demi menegakkan syiar Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa pengorbanan tidak dapat dipisahkan daripada hijrah, seperti yang berlaku ke atas sahabat baginda Nabi S.A.W. iaitu Suhaib bin Sinan Ar-Rumy. Beliau meninggalkan seluruh harta benda yang dicintainya semata-mata untuk menyahut dan melaksanakan perintah Nabi Muhammad S.A.W. untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. 

Program sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan saban tahun bukanlah merupakan suatu tradisi semata-mata yang mesti diadakan setiap kali menjelangnya ketibaan Tahun Hijrah yang baru, namun disebaliknya tersirat keazaman dan semangat untuk meneruskan aspirasi serta wawasan membina sakhsiah dan peribadi umat berasaskan kepada sakhsiah dan peribadi insan unggul junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W.

Melihat kepada kekuatan dan kesungguhan Nabi Muhammad S.A. W. dalam membina sebuah Negara Islam yang unggul di mata dunia bukanlah semudah yang disangka sebaliknya ia memerlukan kepada pengorbanan dan usaha seluruh umat dalam membina tamadun yang gemilang di mana perpaduan adalah kunci utama kejayaan pada masa itu.  

Kejayaan dan kepimpinan Rasulullah begitu terserlah apabila Baginda berjaya menyatukan umat yang berbilang bangsa dan agama dalam sebuah negara Islam yang mana perjuangan Baginda tersebut adalah berasaskan pengorbanan yang suci dan jihad yang tinggi demi kemaslahatan ummah sejagat.

Masa telah banyak merubah segalanya, dalam kita menyusuri perkembangan sejarah, kita dapat melihat masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci.

 

Era kegelapan dan kejatuhan umat Islam telah berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing.

Kini, masyarakat Islam telah berpecah-belah dan terpisah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana.

Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam ditindas di merata-rata tempat seperti yang berlaku di Iran, Iraq, Palestin dan di seluruh pelusuk dunia. Apa yang berlaku telah diisyaratkan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

 

Hampir-hampir seluruh umat mengelilingi kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka. Ada yang bertanya, ’Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?’ Nabi s.a.w. menjawab: ’Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.’Ada yang bertanya: Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ’Cintakan dunia dan bencikan mati.’   

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu  masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh. (Tiada perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja terhadap orang-orang Islam kerana kelemahan yang berlaku pada umat Islam itu sendiri).

Oleh itu kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah sama-sama bangkit dan berhijrah ke arah  yang lebih baik demi mendaulatkan Islam di mata dunia dan mengembalikan kegemilangan serta keagungan agama suci ini.

Sejak akhir-akhir ini, kita telah digemparkan dengan penyebaran Fahaman Wahabi yang disebarkan di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Fahaman ini dipercayai mengetepikan amalan sunah umat Islam di negara ini sejak turun-temurun.

Umat Islam di negara ini telah lama berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah mengikut Imam As-Syafie dan ia jelas telah diterima baik sejak zaman-berzaman lagi sehinggalah datangnya fahaman ini yang boleh menyebabkan umat Islam bertelingkah dan seterusnya berpecah-belah.

Persoalan yang timbul ini adalah untuk menguji sejauh mana umat Islam mampu berganding bahu bagi menghadapi dan menangkis segala tohmahan terhadap agama Islam yang tercinta ini.

Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam haruslah bersatu-padu demi menegakkan agama Islam yang tercinta ini dan sama-sama berganding bahu menentang musuh Islam yang mahu menghancurkan masyarakat kita ini. ,

Bersesuaian dengan semangat Maal Hijrah dan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh Umat Islam di Negeri Terengganu ini untuk bersatu-padu dan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah kita pada kali ini iaitu “Memantap  Ukhuwwah Memperkasa Ummah”. Ini juga bersesuaian dengan maksud firman Allah S.W.T. iaitu:

“Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan hati kamu (hingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”

(Ali-‘Imran : Ayat 103)

 

Sebagai warga yang bertanggungjawab, marilah sama-sama kita menggembeleng tenaga ke arah masyarakat yang lebih baik dan harmoni khususnya ke arah melahirkan gagasan 1Malaysia seperti yang diwar-warkan di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri  Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, ia haruslah didokong oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. 

Matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk dan berbilang kaum yang selama ini menjadi tunjang kekuatan kita.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berhijrah ke arah kecemerlangan dan masa depan yang lebih baik demi melahirkan keluarga, masyarakat dan seterusnya negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.

Semoga Tahun Baru Hijrah pada kali ini akan membawa sinar baru yang lebih bermakna dalam kehidupan kita semua sebagai Umat Islam dan juga besar harapan saya untuk melihat lebih banyak kejayaan akan dapat dicapai oleh Negeri Terengganu pada Tahun Baru Hijrah pada kali ini. 

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

Sekian , Wabillahi Taufiq, Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Lampiran:Tiada rekod