Kategori:UCAPAN
 

 

UCAPAN YAB MENTERI BESAR TERENGGANU PADA MAJLIS PENGANUGERAHAN PINGAT EMAS DAN HADIAH KECEMERLANGAN PELAJAR YAYASAN TERENGGANU KALI KE – 30 TAHUN 2009

                                                                                 ( MAJLIS INDUK)

                            PADA: KHAMIS 24 DISEMBER 2009

                            JAM: 9.30 PAGI

                            TEMPAT : DEWAN BESAR WISMA DARUL IMAN KUALA TERENGGANU.

                           

Bersama-samalah kita mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan perkenanNya dapat kita sama-sama meraikan majlis pada hari ini dalam suasana yang begitu harmoni dan sejahtera.

Di sini saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar sekelian kerana telah berjaya di dalam peperiksaan masing-masing. Tahniah dan ucapan terima kasih juga diberikan kepada ibu bapa yang cemerlang yang telah berjaya menjadikan anak-anak mereka terbilang.Tidak ketinggalan juga ucapan syabas kepada pihak pengurusan Yayasan Terengganu kerana telah berjaya mengadakan majlis ini setiap tahun tanpa henti sejak daripada tahun 1980 hinggalah sekarang ini,  semata-mata adalah untuk sama-sama meraikan kejayaan para pelajar dan juga bagi menghargai penat lelah para pelajar didalam mencapai kecemerlangan.

Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap ilmu dan kecemerlangan pendidikan. Melalui Yayasan Terengganu iaitu bagi menghargai kejayaan cemerlang para pelajar, Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu diadakan setiapa tahun. Saya yakin walaupun sumbangan tidak seberapa tetapi ianya amatlah bermakna kepada para pelajar sekelian.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan perkenannya sekali lagi Terengganu muncul sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan UPSR 2009 mendahului lain-lain negeri. Ini merupakan kali kesembilan berturut-turut Terengganu dapat mengekalkan prestasi tersebut. Kejayaan ini adalah kejayaan kita semua dan syabas serta terima kasih sekali lagi diucapkan kepada para pelajar, guru-guru dan juga ibubapa sekelian. Tanpa usaha dan gandingan mereka ini amatlah sukar untuk kita mengekalkan pencapaian cemerlang sembilan tahun berturut-turut yang tidak dapat digugat oleh mana-mana negeripun. Jabatan Pelajaran juga memainkan peranan bagi kejayaan ini. Dengan pengawasan dan penyeliaan serta ide –ide yang selalu dilemparkan memberi ilham dan peransan kepada guru-guru untuk disebarkan pula kepada pelajar-pelajar sekelian. Walaupun Yayasan Terengganu hanya memainkan peranan kecil sahaja bagi kecemerlangan ini tetapi ianya sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Sebagai contoh ialah majlis yang diadakan pada hari ini. Bagi para pelajar yang cemerlang akan dihargai dengan memberi insentif berbentuk wang tunai kepada mereka dan diadakan dalam majlis yang gemilang. Ini membuktikan yang Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayaysan Terengganu telah mengiktiraf kejayaan mereka dan secara tidak langsung akan memberi dorongan kepada para pelajar untuk terus mencapai kejayaan.

Dengan itu sebagaimana yang seringkali saya nyatakan, Kerajaan Negeri akan sentiasa mengutamakan peruntukan didalam bidang pendidikan untuk anak-anak negeri ini. Kita akan menjadikan Terengganu sebagai ANJUNG ILMU dan InsyaAllah akan menjadi tempat rujukan kepada lain-lain negeri. Kita mahukan anak-anak negeri Terengganu Darul Iman sebagai anak-anak yang berilmu sama ada dari aspek sosial mahupun pendidikan. Negeri sudah tentunya akan mengaut keuntungan sekiranya anak-anak negerinya berilmu dan berkreatif. Dengan kepandaian/kelebihan yang ada pada mereka akan membantu negeri untuk mempertingkatkan lagi kemajuan yang sentiasa diharapkan oleh kerajaan negeri dan juga rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.

Bagi melahirkan anak-anak negeri yang berpelajaran dan berhemah, Kerajaaan Negeri melalui Yayasan Terengganu telah, sedang dan akan menghantar anak-anak negeri yang berkelayakan ke luar negara bagi menimba ilmu. Sehingga kini kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu telah menghantar para pelajar ke Indonesia, Mesir., Jordan, United Kingdom, Ukraine, Russia dan Australia. InsyaAllah beberapa negara lagi akan ditinjau bagi penghantaran para pelajar anak negeri Terengganu. Selain daripada luar negara, sebagaimana lazimnya pelajar-pelajar Terengganu juga diberi kemudahan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi dalam negeri. Setiap tahun Yayasan Terengganu telah berbelanja beratus-ratus juta ringgit bagi penghantaran ini.

Bagi memastikan anak-anak negeri sentiasa cemerlang didalam pelajaran sehingga ke menara gading, insentif berupa wang tunai juga diberikan kepada garaduan-graduan yang berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama yang dikenali dengan nama Sarjana Terengganu. Anugerah ini telah dimulai dari tahun 1998 dengan bilangan penerima seramai 4 orang sahaja tetapi telah meningkat dari tahun ke tahun dan pada tahun ini seramai 62 orang graduan telah disahkan layak untk menerima anugerah ini. Untuk makluman para hadirin sekelian, keseluruhan graduan yang telahpun menerimanya termasuk yang akan menerimanya pada hari ini ialah seramai 212 orang. Saya berharap bilangan cerdik pandai anak-anak Terengganu akan terus meningkat dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama juga saya pohon mereka ini akan bersedia untuk berkhidmat di negeri mereka sendiri atau sekurang-kurangnya dapat memberi ide-ide ataupun pandangan terhadap cara untuk mempertingkatkan lagi perkembangan negeri Terengganu Darul Iman dari semua aspek di dalam bidang masing-masing. InsyaAllah dengan gabungan ide-ide dan juga kerjasama dari setiap warga Terengganu akan dapat membantu mengubah Terengganu ke arah yang lebih cemerlang.

Sebelum saya menyudahkan ucapan saya ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar dan graduan yang berjaya. Kepada para ibu bapa dan guru diucapkan terima kasih kerana usaha cemerlang mereka yang telah mendidikan anak-anak didikan mereka. Kepada pengurusan Yayasan Terengganu yang tidak jemu-jemu mengadakan majlis ini dengan harapan ianya dapat mendorong para pelajar dan para graduan untuk terus cemerlang juga diucapkan terima kasih.

Akhir kata saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Emas Dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Ke – 30 Tahun 2009.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Terima kasih.

 

 

Lampiran:Tiada rekod