Kategori:Berita Mahkamah Syariah
 
February 17, 2008 16:49 PM

Bekas Ustazah Didapati Bersalah Atas Tuduhan Murtad

KUALA TERENGGANU, 17 Feb (Bernama) -- Bekas ustazah Kamariah Ali, 57, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di sini hari ini atas tuduhan mengaku dirinya murtad.

Hakim Syarie Mohamad Abdullah bagaimanapun menetapkan 3 Mac ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman bagi memberikan peluang kepada Kamariah untuk bertaubat selain membuat pengakuan bahawa dirinya telah insaf dan sedia untuk meninggalkan sebarang ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Kamariah seorang pengikut ajaran sesat Arifin Mohamad atau Ayah Pin, didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku murtad bagi mengelak tindakan diambil terhadapnya. Semasa memberikan hujah penghakiman Mohamad berkata walupun beliau telah merangka beberapa hukuman kepada Kamariah, namun apa yang beliau ingin lihat ialah Kamariah berubah.

Kesalahan ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam di Malaysia dan dunia amnya.

"Oleh kerana Kamariah masih tinggal di Terengganu dan tinggal di tapak Kerajaan Langit yang juga merupakan bekas tapak ajaran Ayah Pin, maka saya ingin dengar pengakuan dari Kamariah sendiri selain taubat dan sanggup meninggalkan ajaran selain daripada Islam.

"Jangan kata saya yang suruh Kamariah bertaubat, tetapi ia mestilah lahir dari hati sendiri. Saya percaya dan saya yakin Kamariah lebih tahu apa itu Islam dan Allah," katanya.

Mohamad turut meminta Kamariah supaya beristhgfar dan mintanya supaya benar-benar menyesali perbuatan yang dilakukannya sebelum ini dan bertekad untuk tidak mengulanginya.

Kamariah kemudiannya beristighfar sebanyak tiga kali sebagai memenuhi permintaan Mohamad sambil menambah bahawa walaupun soal sama ada Kamariah benar-benar bertaubat dan telah kembali kepada agama Islam hanya Allah yang mengetahui dan Kamariah sendiri, namun secara peribadi beliau berdoa pintu hati Kamariah supaya terbuka untuk kembali ke landasan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berharap Kamariah tidak melafazkan taubat semata-mata kerana hendak mengelakkan daripada dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

"Hukuman denda maksimum sebanyak RM5,000 dan tiga tahun penjara yang diperuntukkan dalam kes ini adalah ringan jika dibandingkan dengan hukuman yang terkandung dalam ayat-ayat Al-Quran.

Mohamad berkata beliau amat berharap satu pengakuan yang ikhlas daripada Kamariah kerana beliau bimbang apabila dijatuhkan hukuman nanti, ia akan menjauhkan lagi Kamariah dari landasan sebenar walaupun tujuan hukuman itu adalah untuk mengembalikan Kamariah ke pangkal jalan," katanya.

Sebelum itu, Kamariah turut berdolak dalik ketika ditanya tentang statusnya sama ada masih Islam atau tidak. Ini kerana katanya soal itu melibatkan dirinya dengan Allah dan dia membuat pengakuan keluar dari Islam sebelum ini kerana ramai yang mengatakannya berbuat demikian.

Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang seberat-beratnya kepada bekas ustazah tersebut kerana kesalahan yang dilakukannya itu amat serius.

Malah Kamariah, katanya yang mempunyai pendidikan dalam bidang syariah dari Universiti Al Azhar juga tidak menunjukkan sebarang rasa keinsafan sepanjang perbicaraan itu berlangsung.

Bagaimanpun peguam bela tertuduh, Saadiah Din meminta mahkamah supaya meringankan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada anak guamnya kerana dia tidak sihat selain sudah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

-- BERNAMA

Lampiran:Tiada rekod