Kategori:Berita Mahkamah Syariah
 

PUTRAJAYA 7 April - Sebanyak 90 peratus kes-kes melibatkan Mahkamah Syariah berjaya diselesaikan dalam tempoh 12 bulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, keupayaan itu sekali gus melenyapkan tuduhan pihak tertentu terhadap institusi itu yang dikatakan lewat menyelesaikan sesuatu kes dan kerap tertangguh.

Katanya, dakwaan itu terbukti tidak benar kerana baki 10 peratus kes yang belum dibereskan bukan berpunca daripada kelemahan jabatan itu sebaliknya berpunca daripada faktor lain.

"Kes yang belum selesai itu disebabkan oleh kes-kes yang tidak mempunyai sandaran bukti seperti saman yang tidak diterima oleh pelakunya.

"Namun saya telah mengarahkan agar peratusan itu dapat dipertingkatkan agar mengembalikan balik kepercayaan masyarakat Islam terhadap keupayaan Mahkamah Syariah," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, jabatan itu juga berusaha menambah jumlah pegawai syariah bagi mengikuti kursus Sarjana Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Institusi Latihan Kehakiman bajudi Mesir dan kursus khas di Kolej Muslim, London.

''Setakat ini hanya 10 orang mengikuti kursus di UIAM, 15 di Mesir selama empat bulan dan tiga orang dihantar ke London setiap tahun.

''Saya minta tambah jumlah mereka yang mengikuti kursus ini agar pengetahuan mengenai hukum lebih terperinci dan menyeluruh supaya institusi kehakiman syariah lebih dihormati," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, jabatan itu juga sedang meningkatkan sistem pengurusan kes mahkamah syariah melalui sistem 'e-Syariah' bagi pendaftaran kes mahkamah itu.

''Ini satu sistem baru dalam jabatan agama di mana ia memberi kemudahan kepada penjadualan, pengagihan dan merekodkan keputusan kes, kutipan bayaran yuran dan hasil, penyediaan borang dan sebagainya yang diuruskan oleh hakim syariah sendiri.

''Ia juga mempercepatkan proses pendaftaran kes yang mengambil masa lapan minit sahaja dan penjadualan hakim selama dua hingga lima minit berbanding sehari sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKSM merangkap Ketua Hakim Syariah., Datuk Ibrahim Lembut berkata, kerajaan telah menambah peruntukan RM16 juta lagi daripada peruntukan asal RM20 juta bagi membina Kompleks Mahkamah Syariah di Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah.

''Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM36 juta bagi membina kompleks ini," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia bertarikh 8 April 2008

Lampiran:Tiada rekod